Sunday, August 29, 2010

Arsenal pulang dengan tiga mata penuh setelah berjaya menewaskan Blackburn ditempat sendiri pada perlawanan yang sangat mendebarkan mendebarkan. Kemenangan tipis ini adalah hasil kerja keras anak-anak buah Arsene Wenger yang memberikan tentangan hebat kepada pasukan yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal jika mahu dibandingkan sebahagian besar pemain Arsenal yang bersaiz badan sederhana.

Kesebelasan utama yang diturunkan

Almunia
Clichy - Koscielny - Vermaelen - Sagna
Song
Fabregas - Diaby
Walcott - van Persie - Arshavin

Sebaik bermulanya permainan, Blackburn Rovers lebih banyak mengasak ke pintu gol Arsenal. Setiap kali mendapat sepakan percuma dan lontaran kedalam, Blackburn terus menhantar atau melontar bola kedalam kotak penalti kerana mereka tahu Arsenal agak lemah untuk bertahan semasa set-piece. Christopher Samba menjadi ancaman berbahaya buat Arsenal berikutan tubuh badan beliau yang tegap.

Gol pembukaan perlawanan hadir pada minit ke-20 apabila Theo Walcott membuat penyudahan sangat baik pada sudut sukar hasil daripada hantaran Robin van Persie. Namun, kegembiraan penyokong Arsenal tidak bertahan lama apabila Koscielny gagal mengawal El-Hadji Diouf dengan baik dan Mame Diouf dengan mudah menolak masuk untuk gol penyamaan Blackburn pada minit ke-27.

Pada minit ke-34, Robin van Persie terpaksa dikeluarkan setelah mengalami kecederaan lutut akibat pertembungan dengan seorang pemain Blackburn beberapa minit sebelum itu. Beliau yang tidak dapat meneruskan permainan digantikan dengan Marouane Chamakh. Separuh masa pertama berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Arshavin meraikan gol kedua beliau untuk musim ini 
Separuh masa kedua berlansung agak seimbang dimana kedua-dua pasukan saling menyerang. Pada minit ke-51, Andrey Arshavin meletakkan Arsenal dihadapan apabila bola rembatan Fabregas terkena Walcott  dan melantun ke arah pemain Rusia tersebut lantas disudahi dengan baik oleh beliau. Wenger turut memberi peluang bermain kepada Rosicky yang menggantikan Fabregas dan Wilshere menggantikan Arshavin.

Blackburn bagaimana pun tidak berputus asa untuk mencari gol penyamaan dimana Christopher Samba yang asalnya bermain diposisi pertahanan tengah ditugaskan menjadi penyerang. Arsenal juga memperoleh beberapa peluang keemasan terutama sekali melalui Jack Wilshere gagal membuat penyudahan ketika hanya berdepan dengan Paul Robinson. Arsenal dilihat mengawal bola dengan baik sehinggalah tamat perlawanan.

Rumusan

Theo Walcott telah membuktikan bahawa persembahan cemerlang beliau minggu lepas bukan kerana berdepan dengan lawan yang lemah atau nasib semata-semata. Beliau nampak yakin, fokus dan sentiasa menjadi ancaman kepada pertahanan Blackburn Rovers yang terancang. Persembahan yang disaksikan Fabio Capello ini pasti mengukuhkan lagi kedudukan beliau dalam skuad kebangsaan England.

Walaupun rata-rata pemain nampak bekerja keras untuk menang dalam perlawanan ini, masih banyak yang perlu diperbaiki terutama sekali ketika membuat hantaran dan juga bertahan. Banyak hantaran tidak tepat dilakukan oleh Alex Song serta beberapa pemain lain seperti Diaby, Chamakh dan juga Fabregas. Sementara itu barisan pertahanan pula masih lagi nampak kelam kabut setiap kali diserang. Jelasnya kini, Koscielny akan menghadapi saingan sengit dari Squillaci jika tidak memperbaiki kelemahan beliau.

Manuel Almunia dilihat bermain dengan baik sekali mengawal pintu gol Arsenal dengan berjaya menyelamatkan bola dalam beberapa situasi berbahaya. Beliau merupakan pemain terakhir yang keluar dari padang setelah tamat perlawanan dan melontarkan jersi dan armband ketua pasukan kepada penyokong seolah-olah ianya persembahan terakhir beliau bersama the Gunners. Sementara itu menurut Wenger, kecederaan van Persie akan mengambil masa 8-10 hari untuk pulih.

Rating Blog Arsenal Nombor Empat

Manuel Almunia (7)
Persembahan nampak meyakinkan serta mengawal situasi berbahaya dengan baik.

Bakari Sagna (8)
Beraksi dengan baik ketika menyerang mahupun bertahan. Hasil usaha keras beliau membantu dalam gol kemenangan Arsenal.

Laurent Koscielny (6)
Beliau terlepas kawalan terhadap El-Hadji Diouf yang seterusnya menghasilkan gol penyamaan Blackburn. Namun usaha keras beliau ketika bertahan harus dipuji.

Thomas Vermaelen (6)
Bukanlah aksi terbaik beliau namun tetap berusaha keras ketika bertahan.

Gael Clichy (6)
Overall ok cuma beliau sepatut lakukan lebih baik lagi ketika Mame Diouf dapat meloloskan diri untuk menjaringkan gol penyamaan. Beliau dilihat tidak alert dengan kehadiran Diouf.

Alex Song (6)
Hantaran beliau kadang kala tidak tepat.

Cesc Fabregas (6)
Beliau secara jelasnya nampak masih belum cukup cergas. Masih perlukan masa bermain secukupnya.

Abou Diaby (6)
Kelebihan fizikal beliau amat berguna buat Arsenal dan beliau mengunnakan aset itu dengan baik. Namun beliau dilihat antara salah seorang yang kurang bersemangat.

Theo Walcott (8) - Man of The Match
Persembahan yang konsisten, yakin dan sentiasa menjadi ancaman kepada pertahanan lawan. 1 gol dan 1 assist yang tidak disengajakan.

Robin van Persie (7)
Tidak banyak impak yang dapat kita lihat namun beliau sempat menghasilkan 1 assist.

Andrey Arshavin (7)
Perangai sama macam Diaby - kurang bersemangat. Beberapa kali gagal melepasi pertahanan lawan samada bola dicuri ataupun sepakan yang berjaya dihalang. Namun beliau masih mampu menjaringkan 1 gol yang amat berharga.

Pemain gantian:

Marouane Chamakh (7)
Beliau kerap turun untuk membantu barisan pertahanan. Berjaya mengawal Samba namun ianya berisiko tinggi kerana kawalan ketat beliau boleh menyebabkan pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti.

Tomasz Rosicky (6)
Tidak banyak aksi yang menarik yang dapat dilihat.

Jack Wilshere (6)
Mengawal bola dengan baik. Seharusnya menjaringkan gol ketika hanya berdepan dengan Paul Robinson.

Tagged:

0 comment(s):

Post a Comment