Sunday, August 22, 2010

Seperti yang dijangka, Cesc Fabregas dan Robin van Persie tidak diturunkan dalam kesebelasan utama. Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka ini disenaraikan sebagai pemain gantian. Alex Song pula diturunkan sebagai pertahanan tengah. Sementara Emmanuel Eboue tidak tersenarai dalam kesebelasan utama kali ini bagi memberi peluang kepada Theo Walcott mempamerkan aksi beliau seawal sepak mula. Ternyata kali ini Walcott tidak mensia-siakan kepercayaan Arsene Wenger terhadap beliau.

Barisan kesebelasan utama yang diturunkan

Almunia
Sagna - Song - Vermaelen - Clichy
Diaby
Rosicky - Wilshere
Walcott - Chamakh - Arshavin

Permainan nampak seimbang pada awalnya dimana Blackpool bermain dengan penuh keyakinan seperti mengharapkan dapat melakukan kejutan keatas Arsenal. Namun persembahan mereka mula goyah apabila Theo Walcott membuka tirai jaringan gol seawal minit ke-11. Ianya bermula dari hantaran Rosicky kepada Arshavin yang berjaya mengesan Walcott tidak dijaga oleh pertahanan Blackpool. Walcott kemudian dengan tenang menyepak masuk bola ke dalam penjuru kanan gol lawan.

Pada minit ke-32, Maroune Chamakh dijatuhkan di dalam kotak penalti dan pemain pertahanan lawan, Ian Evatt dilayangkan kad merah. Sepakan penalti diambil oleh Andrey Arshavin dan beliau tidak mengecewakan apabila menjadikan kedudukan 2-0. Permainanan mula menjadi milik Arsenal apabila Blackpool terpaksa bermain dengan sepuluh orang. Asakan bertali arus menyaksikan Theo Walcott menyumbat gol ke-3 Arsenal pada minit ke-39 hasil hantaran Jack Wilshere. Separuh masa tamat dengan kedudukan 3-0.

Bermulanya separuh masa kedua, Arsenal tidak memperlahankan permainan malah sebaliknya. Gol ke-4 hadir hasil dari hantaran lintang Bakari Sagna yang disempurnakan dengan baik oleh Abou Diaby pada minit ke-49. Lebih kurang sepuluh minit selepas itu, Walcott melengkapkan hat-trick pertama bersama the Gunners apabila sepakan kaki kiri beliau menerjah masuk kedalam gawang lawan hasil hantaran Abou Diaby pada minit ke-58 untuk gol kelima Arsenal.

Walcott melengkapkan hat-trick pertama bersama Arsenal, yang kedua untuk peribadi
Pada minit ke-62, Fabregas dan van Persie dibawa masuk menggantikan Diaby dan Arshavin. Selang empat minit kemudian, Walcott direhatkan bagi memberi peluang kepada Carlos Vela membuktikan kemampuan beliau pula. Saat yang dinanti-nantikan oleh Marouane Chamakh untuk menjaringkan gol akhirnya tiba pada minit ke-83 apabila sepakan penjuru yang diambil oleh van Persie ditanduk dengan baik melepasi penjaga gol Blackpool. 

Rumusan

6-0 adalah keputusan yang sangat baik. Memang benar, Arsenal hanya berdepan dengan Blackpool yang mana pertahanan mereka tidak seampuh Man Utd atau Chelsea. Namun ianya harus dilihat sebagai keputusan yang menaikkan moral pemain dan menyuntik semangat untuk berjuang sehingga ke hujung musim ini. Perlawanan malam tadi juga dijadikan sebagai pemanas badan buat Cesc Fabregas dan Robin van Persie untuk meningkatkan tahap kecergasan mereka.

Kita juga dapat lihat kemajuan Theo Walcott membuat penyudahan. Kali ini beliau nampak tenang dan berbisa namun masih lemah dalam kemahiran menggelecek. Almunia dan barisan pertahanan Arsenal kurang mendapat cabaran dari pasukan lawan tetapi tidak menghampakan apabila sesekali diserang balas. Tomas Rosicky menggalas tugas sebagai perancang utama dengan baik sekali manakala Jack Wilshere kelihatan gugup dan masih perlukan lebih pendedahan.

Sementara itu sedikit peningkatan dilihat juga pada Abou Diaby dimana beliau semakin dapat menyesuaikan diri dengan peranan holding midfielder. Beliau dapat mengawal bola dengan baik sementara rakan sepasukan mengatur serangan. Cuma apabila semua sudah bersedia, beliau perlu menghantar bola dengan segera. Chamakh pula membuktikan kebolehan bola atas udara beliau yang sebelum ini diperkata ramai. Semangat beliau terus mencuba untuk mendapatkan gol haruslah dipuji dan dicontohi oleh pemain lain.

Secara keseluruhannya, keputusan ini tidak boleh dijadikan pengukur untuk mengukur kebolehan Arsenal musim ini sebaliknya dijadikan sebagai penyuntik semangat. Perlu diingat, pasukan lain tidak sama seperti Blackpool yang sering melakukan kesilapan. Apa yang setiap pemain harus lakukan ialah dengan mengekalkan fokus mereka bagi meneruskan persembahan yang konsisten. 

Rating Blog Arsenal Nombor Empat

Manuel Almunia (6) 
Jarang dicabar oleh barisan serangan Blackpool. Tidak dapat mempamerkan kehebatan beliau.

Bakari Sagna (8)
Banyak membantu dalam serangan mahupun bertahan. 1 assist.

Alex Song (7)
Bertahan dengan baik.

Thomas Vermaelen (7)
Bertahan dengan baik.

Gael Clichy (7)
Banyak membantu dalam serangan mahupun bertahan.

Abou Diaby (9)
Menjalankan tugas sebagai holding midfielder dengan baik. 1 assist, 1 gol.

Tomas Rosicky (8)
Menjadi perancang utama dengan baik.

Jack Wilshere (6)
Masih lagi gugup dimana beliau perlukan lebih pendedahan. Banyak melakukan kesilapan namun berjaya assist 1 gol.

Theo Walcott (10) - Man of the Match
Hat-trick!

Marouane Chamakh (8)
Usaha keras beliau berhasil apabila berjaya menjaringkan 1 gol.

Andrey Arshavin (9)
1 gol dan 1 assist.

Cesc Fabregas (7)
Mengekalkan rentak serangan Arsenal.

Robin van Persie (7)
Tidak banyak masa untuk mempamerkan aksi sebenar namun masih berjaya menghasilkan 1 assist.

Carlos Vela (6)
Tidak banyak masa untuk mempamerkan aksi.

Highlights

Oleh kerana aku masih belum jumpa video highlights perlawanan ni, aku letakkan kat sini klip budak-budak AFCSM cuba mengadaptasikan suasana seperti di Emirates Stadium kat Eckywoobee Sports Cafe. Haha!



Tagged: ,

4 comments:

  1. erkkk ko bagi diaby 9?

    ReplyDelete
  2. haha utk game ni jer.. dia main takdelah teruk sgt dan bleh score 1 assist 1.. bukan selalu diaby nak main bagus.. puji la dia sket. haha

    ReplyDelete
  3. hahah..
    betol gak tu..
    asik condemn jer lame2 ilang keyakinan diaby tu..
    heheheh..
    tapi aku kondem pun bukan dia dengar..
    heheheh..

    ReplyDelete
  4. skang mood tgh baik.. arsenal pn tgh perform.. tgklah kalau time sape2 yang main bodoh nanti aku maki kaw2.. haha

    ReplyDelete