Thursday, December 30, 2010

Gambar yang menampilkan jersi home Arsenal musim depan telah tersebar di internet semalam. Jersi yang dikatakan akan digunakan musim depan ini tidak banyak bezanya dari sekarang namun ciri-ciri yang paling menonjol adalah design lingkaran bunga pada lambang Arsenal. Selain itu, tiada warna merah pada lengan baju dan kolar baju pula kini bukan lagi berwarna putih.

Kononnya jersi untuk musim depan
Rekaan lingkaran bunga tersebut adalah bersempena dengan ulang tahun penubuhan kelab yang ke-125 tahun. Ini menyebabkan aku berfikir dua kali jugak nak beli jersi original Arsenal yang pertama dalam hidup aku sebab kemungkinan design baru ni tak banyak beza dan katakanlah memang totally berbeza pun, design tahun depan mesti lagi bermakna untuk dimiliki sebab ada tanda ulang tahun ke-125.

Walaubagaimanapun, rekaan jersi ini hanyalah khabar angin semata-mata. Seperti musim-musim yang sebelumnya, pasti ada rekaan yang tersebar di internet. Diharap pereka jersi untuk musim depan dapat hasilkan rekaan yang lebih menarik dari apa yang digembar-gemburkan ini bersesuaian dengan tanda 125 tahun tersebut.

Diambil dari: EPLTalk.com

Wednesday, December 29, 2010

Menjelang berakhirnya tahun 2010 tidak lama lagi, Arsenal TV Online telah menyiarkan koleksi gol-gol terbaik yang dijaringkan oleh The Gunners sepanjang tahun ini bermula dari bulan Januari hinggalah Disember yang mana turut memuatkan sebahagian dari gol musim lepas (Januari - May 2010). Kebanyakan gol yang disajikan adalah hasil dari jaringan Samir Nasri.


Diambil dari 101GreatGoals.com

Tuesday, December 28, 2010

Tak sia-sialah aku dan ramai lagi penyokong Arsenal berjaga awal pagi untuk menyaksikan perlawanan yang pastinya mengukur keupayaan The Gunners musim ini. Perlawanan ini dilihat sangat penting untuk Arsenal yang sudah tewas sebanyak lima kali dalam perlawanan liga kerana berdasarkan apa yang diperkatakan, sesebuah pasukan sukar untuk menjadi juara jika sudah tewas enam kali sebelum tahun baru bermula.

Selain itu, anak-anak buah Arsene Wenger ini juga sangat bersemangat untuk menamatkan badi apabila menentang pasukan-pasukan besar yang lain. Isu ini dikenal pasti oleh ketua pasukan, Cesc Fabregas sendiri apabila mengakui Arsenal terlalu risau akan kalah dalam perlawanan besar hingga menghilangkan konsentrasi lantas menjejaskan permainan sendiri. Ini benar-benar menguji ketahanan mental dan keyakinan pemain Arsenal yang banyak dipersoalkan sebelum ini.

Bagi Chelsea pula, mereka sedang mencari semula rentak kemenangan dan keyakinan dalam permainan mereka. Kali terakhir mengecapi kemenangan adalah pada 10 November lepas. Dengan kembalinya ketua pasukan John Terry dan Frank Lampard, Chelsea dijangka akan bangkit semula. Selain itu Didier Drogba turut dijangka melakukan rutin beliau untuk menjaringkan gol ketika menentang Arsenal.

Walcott semakin matang musim ini apabila sudah menjaringkan 5 gol dalam 10 perlawanan liga
Arsene Wenger melakukan sedikit pertukaran dengan menurunkan Robin van Persie dan Theo Walcott sementara Marouane Chamakh dan Andrey Arshavin direhatkan. Kehadiran Walcott bermakna Nasri diletakan dibahagian sayap kiri dan ini menampakkan keinginan Wenger untuk melancarkan serangan dari awal lagi kerana kebiasaannya Walcott hanya diturunkan pada separuh masa kedua untuk memanipulasi pertahanan lawan yang sudah keletihan.

Sebaik permainan dimulakan lagi Arsenal telah mempamerkan keinginan untuk menang dengan menggunakan taktik mengasak tanpa memberi ruang untuk pemain Chelsea mengatur rentak permainan. Setiap pemain memainkan peranan masing-masing untuk lakukan pressing - close down terhadap pemain Chelsea. Dengan tahap disiplin yang tinggi, taktik ini berjalan lancar dan Arsenal mendominasi hampir keseluruhan perlawanan ini dimana kita juga dapat lihat Lukasz Fabianski jarang sekali melakukan saves yang kritikal.

Pujian harus diberikan kepada barisan pertahahanan yang diterajui oleh Johan Djourou dimana mereka dengan berhempas pulas mengunci jentera serangan Chelsea terutama sekali dari Didier Drogba yang mempunyai rekod cemerlang menentang Arsenal. Begitu juga kepada ketua pasukan, Cesc Fabregas yang membuktikan kenapa beliau sangat penting buat Arsenal dengan jaringan dan assist yang dilakukan. Tidak lupa kepada Alex Song yang nampak mantap dibahagian belakang dan nampak hidup ketika membantu dalam menyerang.

Secara keseluruhannya, kemenangan pagi tadi sangat bermakna buat kita, bukan sahaja ianya mengembalikan keyakinan pemain-pemain Arsenal, malah mungkin sebagai turning point untuk sesuatu lebih hebat dari itu. Tiada alasan juga buat Chelsea kalah melainkan menerima kenyataan yang mereka sendiri yang bermain dengan teruk. Ironinya kita dapat lihat kesilapan yang biasanya dilakukan oleh pertahanan Arsenal yang kurang berpengalaman, dilakukan pula oleh pertahanan Chelsea yang berpengalaman luas.

Fakta dan statistik dari OptaJoe:
  • Kemenangan ini adalah kali pertama buat Arsenal apabila Drogba bermain.
  • Arsenal berjaya mengekang serangan Chelsea dengan baik dimana hanya satu shot on target berjaya dilakukan oleh mereka. Kali terakhir Chelsea hanya berjaya membuat satu sahaja shot on target adalah pada Januari 2009 ketika menentang Man Utd.
  • Alex Song telah menjaringkan 4 gol dalam 6 shot on target beliau musim ini.
  • Fabregas telah menjaringkan 32 gol dalam perlawanan liga dan sehingga kini Arsenal masih belum kalah dalam perlawanan liga apabila beliau jaringkan gol.

Video Highlights

Wednesday, December 22, 2010

Pada umur 18 tahun, Jack Wilshere telah menyatakan hasrat beliau untuk menjadi ketua pasukan The Gunners satu hari nanti. Bintang muda England ini ingin mengikut jejak langkah Cesc Fabregas dan menjadikan pemain yang berasal dari Catalonia itu sebagai sumber inspirasi beliau untuk memenuhi cita-cita tersebut.

Bakal ketua pasukan Arsenal pada masa hadapan
Impian Wilshere bukan hanya sekadar menjadi kapten sahaja, malah beliau sangat teruja untuk menempa nama didalam buku sejarah Arsenal dengan kejayaan diperingkat kelab mahupun negara.

Wilshere yang baru sahaja menandatangani kontrak baru selama lima tahun bersama Arsenal yang dianggarkan bernilai £50,000 seminggu selepas membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan England, telah berpandangan jauh seperti itu setelah mengakui bahawa Fabregas adalah hero beliau.

Pemain yang semakin mendapat tempat dalam kesebelasan utama ini dipetik berkata:
He’s great to me, always has been. He’s been there before – I think he looks at me and thinks: ‘yeah, I’ve done that’. From when I was 16 he was ­automatically someone to look up to, especially being the type of player I am and the position I play in. He’s a great leader and I want to be like that when I’m older. It’s always been part of my game, and that’s my aim really – to be Arsenal captain one day.

Sejak diserap ke dalam pasukan utama Arsenal pada musim 2008/09, Wilshere telah membuat penampilan sebanyak 16 kali bersama dan baru menjaringkan satu gol sahaja dimana 14 penampilan beliau adalah dari musim ini. Beliau dipetik berkata:
I guess it’s a bit of a surprise that it’s all come about so quickly. I’m 18 and playing regularly for the first team, which I know is quite something. But I was always naturally confident I could step up – it was a matter of time, I thought, and I knew I just needed to keep improving and working at my game. Even if things come naturally, you have to do that first of all. The boss has shown faith in me over the past few months and I’ve demonstrated that I can keep my head at this level.

Wilshere turut berazam untuk memperbaiki aspek defensive permainan beliau. Beliau dikatakan tidak begitu cekap ketika cuba bertahan dan cenderung melakukan kekasaran. Ini dapat dilihat ketika perlawanan menentang Birmingham apabila beliau mengasari Nikola Zigic dan dilayangkan kad merah. 

Wilshere juga sedar bahawa beliau harus mengawal tingkah laku agar tidak terlepas bermain akibat dilayangkan kad merah kerana ia akan membantutkan perkembangan permainan beliau. Pemain yang boleh dikatakan mempunyai sikap panas baran ini dipetik berkata:
When I was younger I kept getting sins bins or red cards and Liam Brady would rightly have a go at me. If I got kicked then my head would go a bit, and instead at getting back at my opponent football-wise I’d retaliate straight away. But I got to 16 and thought: ‘I can’t keep doing this’. Getting sent off and missing the rest of a game just wasn’t good for my development – I knew I had to curb it.

Diambil dari: MirrorFootball

Saturday, December 18, 2010

Pusingan kedua Liga Juara-juara Eropah: FC Barcelona vs Arsenal FC
Sekali lagi Arsenal dijadualkan bertemu Barcelona musim ini. Begitu juga buat Real Madrid yang dah banyak kali terkandas dengan Lyon, pastinya ini bagaikan sumpahan buat mereka. Namun begitu, buat apa kita kesah dengan pasukan yang dah berbelanja sakan tapi masih tak boleh lepas ngan Lyon lagi dalam Liga juara-juara Eropah. Persoalan yang pastinya hangat diperkatakan buat masa ini adalah samada Arsenal mampu untuk menghadapi kemaraan Barcelona yang semakin mantap dengan kehadiran David Villa musim ini.

Pasti ramai penyokong Arsenal yang mengeluh dengan keputusan undian ini. Mana tidaknya, dengan pasukan yang baru saja mempamerkan aksi buruk menentang United Isnin lalu dijadualkannbertemu pula dengan pendahulu La Liga yang sentiasa mempamerkan persembahan yang konsisten. Malah tidak lupa juga dengan keupayaan mereka membenam Galacticos 5-0 ditempat sendiri.

Menurut Arsene Wenger yang sudah menjangkakan sejak awal lagi pertemuan ini, perlawanan menentang Barcelona adalah sangat sukar namun ianya tidaklah mustahil untuk Arsenal menewaskan pasukan yang terhebat dimuka bumi buat masa ini tersebut. Beliau juga yakin Barca juga tidak mahu bertemu Arsenal kerana mereka bakal mendapat tentangan yang sangat hebat dari kita.

Tapi itu hanyalah kata-kata Wenger untuk memberi semangat kepada anak-anak buah beliau serta menyedapkan hati penyokong, namun realitinya kita semua sudah tahu apa yang bakal kita dapat saksikan nanti. Sama seperti ketika menentang United tempoh hari, ramai yang cakap berkobar-kobar tapi hasilnya tetap mengecewakan. Walaupun begitu aku tak nafikan ianya tidak mustahil untuk ketepikan Barcelona tapi andai persembahan yang tak jauh beza dari sekarang yang dipamerkan nanti, kejaiban sangat lah diperlukan.

Pada pendapat aku tak kesah lah kalau kita jumpa siapapun. Untuk menjadi yang terbaik, kita mesti mengalahkan yang terbaik. Kalau berjaya menandingi Barcelona, barulah aku yakin sepenuhnya dengan kemampuan Arsenal untuk menjadi juara. Tiada guna jika kita layak pusingan kedua dengan laluan mudah namun tewas pada pusingan seterusnya. Sekurang-kurangnya kalau tewas dengan Barca, kita dah boleh tumpukan untuk kejohanan yang lain pula.

Salam kepada semua. Entri post-match kali ini memang super lambat. Sorry lah sebab aku sibuk dengan kerja baru dan tak boleh nak luangkan lebih masa untuk menulis blog lagi-lagi kalau perlawanan tu dalam mid week. Walaupun begitu aku masih sempat la baca beberapa berita dan blog lain sama, maka aku rasa nak jugak post entri ni walaupun dah lambat. Harap korang semua tak kisah (lagi pun ni blog aku, aku punya suka lah.. haha).

Tak perlulah aku ulas match ni panjang-panjang sebab secara keseluruhannya permainan Arsenal memang sangat teruk. Kita masih lagi sama, masih tak boleh nak kalahkan pasukan seperti United dan Chelsea. Arsenal tidak dapat bermain seperti sedia kala. Kalau nak diikutkan pemain-pemain kita mempunyai kualiti, kemahiran teknikal yang tinggi dan berbakat besar tapi ianya masih belum cukup untuk tewaskan United. Apa sebabnya?

Koscielny berjaya mengawal Rooney dengan baik
Kalau nak diikutkan, persembahan United tempoh hari bukanlah yang terbaik, namun ianya sudah cukup buat mereka untuk dapatkan tiga mata. Kawalan bola yang baik dan hantaran yang tepat bersertakan taktik yang berkesan untuk memanipulasi corak permainan Arsenal menjadi intipati kejayaan United malam itu. Tidak dinafikan juga faktor nasib baik dengan gol fluke yang dijaringkan Park Ji-Sung tersebut.

Walau apapun, mari lihat pasukan kita dulu. Masih lagi masalah yang sama, mentaliti pemain menjadi kelemahan Arsenal apabila menentang pasukan-pasukan besar. Kita dapat lihat United mengawal bahagian tengah padang dengan baik. Ini sebenarnya turut dibantu dengan kurangnya keyakinan diri pemain-pemain Arsenal itu sendiri. Kita dapat lihat setiap kali seseorang pemain itu mendapat bola, beliau akan cuba membuat hantaran dengan pantas kerana mungkin beliau bimbang akan melakukan kesilapan jika terlalu mengawal bola lebih lama. Secara tak lansung menyebabkan hantaran yang kurang tepat dan gagal mencipta gerakan yang menarik.

Dari aspek taktikal pula, Ferguson bijak menggunakan taktik yang sesuai bila berdepan dengan  Arsenal yang memang menjadi kebiasaan akan menggunakan taktik dan cara yang sama - cara Arsenal. Wenger tetap dengan falsafah beliau iaitu bermain dengan corak permainan yang cantik dan menyerang. Apa yang Wenger cuba terapkan dengan bermain cara Arsenal tanpa menghiraukan taktik apa yang dipakai pihak lawan, pada asasnya memang ada kelebihannya yang tersendiri namun apa yang menyebabkan ianya tidak menjadi adalah sebab set pemain yang kita ada sekarang. Apa yang tak kena dengan mereka? Jawapannya seperti yang aku terangkan sebelum ini - kelemahan mental.

Oleh sebab cerita pun dah lapuk, aku tak nak lah tulis panjang-panjang lagi. Secara positifnya, Szczęsny mempamerkan aksi penampilan pertama dalam perlawanan liga bersama Arsenal dengan cemerlang sekali. Agak menarik juga bila difikirkan kalau dipermulaan musim kita sangat bimbang dengan situasi penjaga gol, namun kini kita ada dua penjaga gol yang boleh diharap. Tidak hairanlah Wenger begitu yakin tidak membeli seorang penjaga gol pada musim panas lepas.

Sementara itu, dari segi pertahanan sebenarnya ada juga peningkatan terutama sekali Koscielny yang berjaya mengawal situasi dengan baik walaupun diasak bertali arus. Gael Clichy pula dilihat sangat struggle apabila menghadapi asakan daripada Nani memandangkan kurangnya bantuan dari Arshavin. Pemain sayap Russia tersebut sepatutnya berada lebih dekat supaya Clichy tidak teragak-agak untuk buat keputusan samada ketika membuat terjahan ataupun hantaran. Namun begitu, kerap kali juga Clichy berjaya membaca gerak langkah Nani lantas menggagalkan serangan United.

Akhir sekali aku ingin memperkatakan tentang mutu pengadilan pada perlawanan tersebut. Seperti kebiasaan perlawanan penting sebegini pasti akan timbul kontroversi keputusan pengadil. Pertama sekali Rio Ferdinand terlepas dari menerima hukuman apabila cuba bersaing untuk dapatkan bola tinggi bersama Sagna. Bagaimana pengadil boleh buat tak nampak dengan kesan kekasan pada abdomen Sagna sehinggakan jersi yang dipakai koyak? 

Kedua, setiap kali Arsenal bertandang ke Old Trafford, kebarangkalian United untuk mendapat sepakan penalti sangat tinggi. Walapun pada perlawanan tersebut bola memang terkena tangan, tapi aku masih tak puas hati sebab menurut rekod, dalam lapan pertemuan di Old Trafford, United telah dihadiahkan dengan lima sepakan penalti. Pengadil memang sungguh bermurah hati dan sangat yakin sepakan penalti harus diberikan kepada United. Keputusan itu tidak begitu susah untuk dilakukan berbanding dengan perlawanan-perlawanan lain (harap korang faham dengan penjelasan ni).

Yang paling celaka sekali, macam mana pengadil boleh buat tak tahu je dengan apa yang Rooney buat kat Chamakh seperti dalam video dibawah? Lansung tak ada tindakan atas apa yang lahanat ni buat. Takde buat penyiasatan dengan bukti video ke? Atau cara Rooney ini memang sah dari sisi undang-undang bola sepak? Mungkin juga hanya Rooney, seorang hero England yang boleh lakukan skill tahap dewa ini.


Monday, December 13, 2010

Menjelang pertemuan dua seteru lama awal pagi ini, aku nak ceritakan tentang perlawanan yang digelar Battle of Old Trafford. Gelaran ini mula dicipta oleh media Inggeris bersempena perlawanan yang berlansung pada 21 September 2003 yang berakhir dengan insiden dramatik yang melibatkan beberapa pemain seperti Patrick Viera, Ruud van Nistelrooy dan Martin Keown.

Sebelum itu, kita mulakan dengan pertemuan yang dikatakan menjadi titik mula permusuhan ini. Ianya dikatakan bermula secara kebetulan sejak perlawanan pertama Alex Ferguson sebagai pengurus Man Utd menentang Arsenal lagi iaitu pada tahun 1987. Pada perlawanan tersebut, David O'Learry dilihat sering dikasari oleh pemain United, Norman Whiteside, mendiang David Rocastle dilayangkan kad merah akibat provokasi pemain United dan perbalahan besar tidak lagi dapat dielakkan.

Pada musim berikutnya, Brian McClair gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan pusingan kelima FA Cup dan Nigel Winterburn dengan gembiranya menganjeng McClair atas kegagalan tersebut. Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Arsenal 2-1 dan layak ke pusingan seterusnya, namun Arsenal tewas 1-2 kepada Nottingham Forest pada pusingan keenam atau suku akhir.

Pada perlawanan liga musim 90/91, McClair berjaya membalas dendam beliau terhadap Winterburn. Ianya bermula apabila pemain left-back Arsenal tersebut terjatuh diatas padang ketika cuba membuat terjahan terhadap Dennis Irwin, dengan tidak semena-mena McClair dan Irwin menendang Winterburn yang masih lagi berbaring diatas padang lantas menyebabkan pergaduhan sebanyak 21 orang tercetus.

Mendiang David Rocastle pernah menyatakan:
It was our team-mate, our little blood brother, in trouble. They were kicking Nigel like a nightclub brawl. That's what got us upset. If it was just a bad tackle, you wouldn't go in like that, no chance. But when I saw them kicking Nigel I ran over thinking, 'You can't have this'! We went in there and we stuck up for each other. At Arsenal we never, ever started any brawls – we just finished them.

Akibat dari insiden ini, kedua-dua pasukan didenda dan ditolak mata dalam liga. Arsenal ditolak dua mata dan Man Utd hanya satu mata. Walaupun begitu, ianya tidak melemahkan semangat perjuangan Arsenal dan pada penghujung musim The Gunners ditabalkan sebagai juara liga dengan perbezaan tujuh mata dengan tempat kedua, Liverpool.

Insiden ini telah menjadikan Keown sebagai lagenda dan hero buat fans Arsenal
Mari kita mengimbau kembali perlawanan yang digelar Battle of Old Trafford ini. Arsenal turun tanpa Sol Campbell yang diberikan kelepasan selepas bapa beliau meninggal dunia dan Wenger merehatkan Robert Pires dan Sylvain Wiltord dan menurunkan Fredrik Ljunberg dan Ray Parlour untuk menghasilkan midfield yang lebih fizikal. Taktik ini menjadi dimana Man Utd gagal membolosi kubu pertahanan Arsenal.

Perlawanan tersebut memperlihatkan banyak kekasaran dilakukan oleh kedua-dua pasukan, 13 oleh United dan 18 oleh Arsenal. Maka tidak hairanlah ketegangan memuncak hingga keminit-minit akhir permainan. Patrick Vieira pada mulanya dilayangkan kad kuning pertama pada minit ke-77 akibat kekasaran terhadap Quinton Fortune dan dilayangkan kad kuning kedua tiga minit kemudian akibat dikatakan cuba menendang van Nistelrooy yang mengasari beliau terlebih dahulu ketika cuba mendapatkan bola tinggi.

Apa yang membuat Vieira bengang adalah reaksi van Nistelrooy yang melebih-lebih yang mengharapkan pengadil melayangkan kad kepada ketua pasukan Arsenal tersebut. Dalam autobiografi beliau, Vieira dipetik berkata:
Personally, I can't stand the sight of van Nistelrooy. Everything about him annoys me. He's always ­complaining, whingeing. The man is a cheat and a coward. Everyone thinks he's a nice guy but in fact he's a son of a bitch.

Berbalik pada perlawanan tadi, United dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-90 setelah Diego Forlan dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Martin Keown. Sepakan penalti diambil oleh van Nistelrooy dan beliau merembat kencang menggegarkan palang gol, dengan pantas juga Keown mendapatkan Nistelrooy dan mengeluarkan kata-kata yang menganjeng.

Selang satu minit, wisel penamat ditiupkan dan beberapa pemain Arsenal seperti Keown, Lauren, Parlour, Cole dan Toure mula mengerumuni van Nistelrooy. Keown juga dilihat dengan sengaja melompat disebelah van Nistelrooy dan menghempap lengan beliau dibelakang kepala penipu yang tak guna itu. Sementara itu, Lauren dilihat menolak van Nistelrooy dari belakang serta Parlour dan Cole mengeluarkan kata-kata kesat.

Insiden ini telah menyebabkan Arsenal didenda £175000 sementara Lauren digantung empat perlawanan dan didenda £40000, Keown tiga perlawanan dan £20000, Vieira dan Parlour satu perlawanan dan masing-masing didenda £20000 dan £10000. Jens Lehmann pada mulanya dikenakan tindakan namun digugurkan, Ashley Cole didenda  £10000, Ryan Giggs  £7500 dan Ronaldo £4000.

Arsenal menamatkan kempen liga musim tersebut dengan tanpa sebarang kekalahan dan menerima gelaran The Invincibles. Rekod tanpa kalah ini berlanjutan sehingga ke perlawanan liga yang ke 49 dan hanya berjaya ditamatkan oleh United di Old Trafford yang menyaksikan satu lagi insiden berlaku yang dinamakan Battle of Old Trafford II atau pun Battle of the Buffet kerana laporan menyatakan beberapa jenis makanan seperti pizza, kopi, sup tomato dan sup kacang pis dilemparkan  kepada Alex Ferguson.



Sunday, December 12, 2010

Link youtube ni aku dapat dari GoonerTalk. Video ini adalah sebenarnya sedutan dari rancangan Football Focus di United Kingdom. Pada awal video diselitkan sedikit temubual Football Focus dengan Idris Elba, seorang pelakon di UK, berkenaan ramalan perlawanan Man Utd menentang Arsenal. Sebagai seorang Gooner, Idris meramalkan Man Utd akan tewas 1-2 ditangan Arsenal.

Samir Nasri selesa ditemubual oleh Tatiana Golovin
Namun isi kandungan video ini sebenarnya memaparkan temubual Football Focus dengan Samir Nasri. Beliau dikatakan tidak begitu gemar ditemubual oleh wartawan dan oleh itu, Football Focus memberi tugasan pertama kepada kekasih beliau iaitu Tatiana Golovin supaya beliau merasa lebih selesa ditemubual. Tatiana merupakan bekas bintang sukan Tenis yang baru menukar kerjaya kepada kewartawanan.

Temubual yang berlansung selama lebih kurang empat minit tersebut memaparkan pertanyaan tentang:
  • Sebab Nasri tidak gemar ditemubual
  • Kehidupan beliau di London
  • Bagaimana beliau boleh bermain dengan baik buat masa ini
  • Pendapat beliau tentang Arsene Wenger
  • Isu hubungan beliau dengan Gallas
  • Pendapat beliau dengan kenyataan Evra
  • Keutamaan Arsenal musim ini
Ikuti tembual ini untuk mengetahui jawapan Nasri kepada kekasih beliau.


Monday, December 6, 2010

Sedap mata memandang kedudukan Liga Perdana Inggeris sekarang ni. Maklumlah, pasukan tercinta yang duduk kat atas tu. Ya, aku tau Man Utd masih kekurangan satu perlawanan tapi buat apa kita nak pikir pasal tu lagi, lebih baik kita enjoy dengan berada diatas sekarang. Harap-harap ianya akan kekal hingga ke perlawanan ke-38 perlawanan nanti.

Rasanya tak perlulah aku ulas secara detail tentang perlawanan semalam sebab blog rakan-rakan lain dah ada ceritakan kesemuanya. Sejak wisel permulaan dimulakan, pasukan kita ini telah menunjukkan persembahan yang serius untuk tidak mengecewakan penyokong yang membanjari Stadium Emirates setelah dua kali berturut-turut mereka kecundang dalam perlawanan liga.

Ledakan gol pertama menerusi Samir Nasri dalam kotak penalti Fulham
Arsenal tampak menguasai perlawanan sepenuhnya dan meletakkan tekanan yang kuat kepada Fulham yang secara tidak lansung menyebabkan mereka melakukan beberapa kesilapan. Hasilnya Samir Nasri berjaya merobek pertahanan Fulham dalam kotak penalti mereka dan melepaskan rembatan kencang didepan pintu gol mereka untuk gol pertama.

Kita tidak memperlahankan tempo permainan malah terus memburu untuk gol seterusnya namun tiada penyudah yang berkesan. Banyak gerakan-gerakan yang menarik disia-siakan terutama menerusi Alex Song dan Maroune Chamakh yang sememangnya mendatangkan kebimbangan kerana kita semua tahu agak sukar untuk Arsenal tidak melepaskan gol dalam satu-satu perlawanan. Song masih sama terus meninggalkan posisi defensive midfielder dan Chamakh pula masih sentiasa mencari rakan untuk membuat hantaran.

Apa yang dibimgbangkan menjadi kenyataan apabila Diomansy Kamara memanfaatkan peluang beliau untuk menjaringkan gol setelah berlaku kekalutan dibarisan pertahanan akibat pertembungan Squillaci dan Koscielny yang secara jelas memperlihatkan tiada komunikasi diantara mereka berdua. Sebenarnya kehadiran gol tersebut dapat dielakkan jika Koscielny memilih untuk baring diatas padang kerana pengadil pasti akan memberhentikan perlawanan atas alasan kecederaan pemain.

Setelah Fulham berjaya menyamakan kedudukan, keyakinan mereka mula kembali dan mereka bukan sahaja jarang lagi melakukan kesilapan malah turut menghasilkan gerakan yang merbahaya. Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan terutama sekali Fabianski yang berjaya menahan tolakan Kamara dalam situasi satu lawan satu. Begitu juga Djourou yang masuk menggantikan Koscielny. Beliau berjaya mendominasi bola diudara dengan baik dan bentuk fizikal beliau yang besar turut banyak membantu memperkuatkan barisan pertahanan.

Gol kemenangan hadir menerusi gerakan cantik Arshavin dan van Persie yang mana memberi ruang untuk Nasri sekali lagi menjadikan kotak penalti lawan adalah kawasan mainan beliau. Perlawanan masih lagi seimbang dimana Fulham masih lagi berbahaya yang membuatkan Fabianski terpaksa melalukan beberapa saves yang cemerlang.

Bagaikan satu trend dimana Arsenal sentiasa buatkan kita semua sakit jantung melihat persembahan mereka. Sudah beberapa perlawanan kita dapat lihat Arsenal sentiasa bekerja keras untuk menang dan struggle untuk mempertahankan kedudukan sedangkan pada satu ketika kita bermain dengan baik sekali dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Dari segi persembahan individu pula, jelas sekali Samir Nasri sangat cemerlang musim ini. Beliau bukan sahaja sudah menjaringkan 11 gol malah gol-gol yang dijaringkan adalah sangat cantik. Beliau mempunyai pakej yang lengkap iaitu kelajuan, vision dan penyudahan yang baik. Tidak mustahil satu hari nanti Nasri akan menjadi pemain yang setanding dengan Messi dan Ronaldo jika beliau terus melakukan peningkatan. Seorang lagi pemain yang banyak memberi pengaruh pada perlawanan semalam adalah Andrey Arshavin. Beliau telah menghasilkan 10 assist buat masa ini dalam kesemua kejohanan.

Berikutan persembahan cemerlang mereka berdua ini, blog Ashburton Grove membuat persoalan adakah mereka bermain sebegitu semata-mata untuk memancing kontrak yang lumayan atau untuk menarik minat kelab-kelab besar untuk mendapatkan khidmat mereka? Persoalan ini ditimbulkan berdasarkan kontrak Nasri dan Arshavin bakal tamat penghujung musim depan.

Aku yakin Nasri sangat komited pada Arsenal. Akan tetapi Arshavin pula agak samar-samar kerana umur beliau bakal mencecah 30 pada tahun depan. Polisi Arsenal yang hanya menawarkan satu tahun kontrak lanjutan kepada pemain yang berumur 30 tahun keatas bakal membuatkan Arshavin hilang minat untuk terus berada di Stadium Emirates. Diharap kita dapat mendengar berita tentang lanjutan kontrak dua pemain ini tidak lama lagi.

Sementara itu persembahan Alex Song agak mengecewakan. Beliau dilihat banyak pergi kedepan untuk membantu serangan sedangkan posisi asal beliau adalah defensive midfielder. Song sepatutnya kekal didepan barisan pertahanan dan berikan perlindungan kepada mereka seperti apa yang beliau lakukakan pada musim lepas dan ianya sangat berkesan. Seorang lagi pemain yang agak mengecewakan bagi aku adalah Theo Walcott. Walaupun beliau berjaya mengatasi pertahanan lawan namun beliau tidak dapat membuat keputusan yang baik terutama sekali bila sudab berada dikawasan lawan.

Video Highlights

Saturday, December 4, 2010

Maaf aku tak ada kesempatan untuk tulis benda baru. Layankan dulu video clip menarik ni yang Fabregas sendiri tweet.