Monday, July 26, 2010

Semalam aku bercerita tentang penjaga gol, hari ini nak cerita pasal pertahanan pulak. Persoalan sama ada barisan pertahanan Arsenal sudah cukup mantap atau tidak masih lagi menjadi tanda tanya dan buah mulut fans Arsenal. Bagi posisi full back rasanya masalah tidak timbul kerana kita semua tahu bahawa Gael Clichy dan Bakari Sagna beraksi dengan baik sekali untuk Arsenal selama ini. Backup diorang, Eboue dan Gibbs pun boleh tahan bagusnya. Jadi kali ini aku akan menyingkap misteri posisi pertahanan tengah Arsenal.

Silvestre dan Gallas bukan lagi pemain Arsenal
Seperti kita sudah sedia maklum, William Gallas dan Mikael Silvestre sudah dilepaskan oleh Arsenal setelah masing-masing tamat kontrak. Pemergian Silvestre amatlah dialu-alu kan tetapi kehilangan pemain yang berkualiti seperti Gallas adalah membimbangkan jika tidak diganti dengan pemain yang setanding dengannya. Ya, gantikan pemain yang mempunyai kualiti yang sama atau lebih dari Gallas dan bukan sama sikapnya.

Gallas dikecam hebat kerana tidak bertindak sebagai ketua pasukan yang memberi inspirasi kepada rakan sepasukan. Selain itu ada khabar mengatakan Gallas mencetuskan suasana tegang di bilik persalinan Arsenal. Ini diikuti dengan pengakuan Kolo Toure yang mendedahkan sebab utama dia pindah ke Man City adalah kerana ketidak sefahaman beliau dengan Gallas serta disuap gaji yang banyak oleh kelab barunya itu.

Apa-apa pun, itu cerita lama dan Gallas telah pun meninggalkan Arsenal. Khabarnya sebab beliau tidak mahu menandatangani kontrak baru dengan Arsenal adalah  kerana hasrat beliau menginginkan gaji 80K seminggu dan 2 tahun kontrak ditolak oleh Arsenal. Walaupun banyak kelab ternama seperti AS Roma, PSG dan Panathanaikos mahukan khidmat beliau, tiada kata putus dicapai kerana kelab-kelab tersebut juga tidak dapat menurut kemahuan Gallas yang inginkan gaji yang mahal walaupun usianya dah lanjut.

Pemergian Gallas mungkin ada hikmahnya kerana sebelum beliau sebagai pemain pertahanan paling senior dia ditugaskan mengemudi barisan belakang. Kini tugas tersebut diberikan kepada Thomas Vermaelen yang tidak dapat disangkalkan lagi mempunyai tokoh kepimpinan berdasarkan pengalaman beliau sebagai ketua pasukan Ajax Amsterdam.

Koscielny perlu mantapkan fizikalnya
Setakat ini, Arsene Wenger hanya mendapatkan Laurent Koscielny sebagai ganti. Adakah Koscielny mempunya kualiti seperti mana Gallas? Aku pun tak tau sebab belum tengok betul-betul dia main. Menurut beberapa blogger yang serius memerhatikan permainan Koscielny sewaktu perlawanan persahabatan menentang Barnet tempoh hari, budak baru ini kelihatan goyah dan banyak terlepas tandukan bola. Walaubagaimana pun masih terlalu awal untuk kita menilai Koscielny kerana mungkin beliau masih lagi gementar dan tidak biasa dengan corak pemainan Arsenal.

Sedikit membimbangkan apabila Koscielny sendiri mengakui kelemahan dirinya adalah dari segi fizikal sementara kelebihan beliau adalah pandai membaca permainan lawan. Ketinggian Koscielny ialah 1.86 meter. Ianya lebih 3 sentimeter tinggi dari Vermaelen yang berketinggian 1.83 meter. Kalau dulu keboleh Vermaelen diragui kerana tidak begitu tinggi, bagaimana pula dengan Koscielny? Sekurang-kurangnya Vermaelen mempunya tubuh badan yang tegap. Bagaimana beliau nak menghalang asakan penyerang sasa seperti Drogba dan Rooney dengan tubuh badan yang sebegitu? Mahu atau tidak Koscielny perlu tegapkan badannya, ambik la creatin atau anabolic steroid sekali pun.

Jagielka seorang pemain pertahanan yang tak tinggi
Adakah Wenger akan hanya membeli seorang sahaja pemain pertahanan? Sehingga kini ada dua lagi pemain pertahanan yang khabarnya bertiup kencang seperti ribut dikaitkan dengan perpindahan ke Emirates Stadium. Pertama ialah Phil Jagielka dari Everton yang dinilai 15M dan yang kedua Per Mertesacker dari Werder Bremen yang dinilai 10M. Walaupun Jagielka mempunyai pengalaman yang luas dalam EPL, ketinggian beliau hanyalah 1.80 meter dan lagi rendah dari Vermaelen. Bolehkah beliau mengatasi penyerang-penyerang tinggi lampai lain seperti Zlatan Ibrahimovic, Fernando Torres dan Peter 'Panjang' Crouch? Lagipun beliau sebenarnya bermain di posisi tengah atau tengah bertahan ketika bermain untuk kelab Sheffield United sebelum diubah ke posisi pertahanan tengah oleh Everton sejak tiga tahun lalu.

Bagaimana pula dengan Djohan Djourou dan Sol Campbell yang berpengalaman luas itu? Djohan Djourou memang diakui mempunyai bakat dan cukup ketinggiannya untuk menjadi pemain pertahanan tengah yang ideal (1.92 meter). Cuma sayangnya, beliau berkecenderungan untuk cedera. Menurut statistik, musim lepas beliau hanya bermain 1 perlawanan, musim sebelumnya 29 dan dua musim lepas hanya 2 perlawanan. Sol Campbell pula walaupun berpengalaman luas, pada usia 36 tahun, masih bolehkah beliau beraksi dengan bertenaga sekali jika pemain pertahanan utama tercedera atau digantung perlawanan?

Sehingga kini masa depan Sol Campbell masih lagi tidak dapat dipastikan kerana beliau masih lagi berbulan madu dengan isteri yang baru dikahwininya. Kebarangkalian beliau akan masih bersama Arsenal musim hadapan adalah tinggi memandangkan gambar beliau masih lagi terpampang di laman web rasmi sedangkan gambar Gallas dan Silvestre sudah dibuang kedalam tong sampah.

Mertesacker tinggi lampai dan banyak pengalaman bersama skuad Germany
Calon yang cukup sesuai pada pandangan aku ialah Per Mertesacker. Pemain tinggi lampai (1.98 meter) ini merupakan pemain kesebelasan utama Werder Bremen. Beliau juga telah membuat 69 penampilan untuk skuad kebangsaan Germany. Maka boleh dikatakan beliau juga mempunyai pengalaman yang luas di Eropah. Walaupun beliau tiada pengalaman di EPL, perlu diingat, kita juga mahu bersaing untuk Liga Juara-juara Eropah. Berdasarkan prestasi Mertesacker bersama skuad Germany pada Piala Dunia tempoh hari, terbukti sudah kebolehan beliau apabila berjaya bertahan dengan baik ketika Germany membelasah England dan pasukan favourite Argentina.

Namun begitu, jika Arsenal menyambung kontrak Sol Campbell, dikhuatiri Wenger tidak akan membawa mana-mana pemain pertahanan tengah lagi. Ini kerana untuk meyakinkan Campbell bagi menandatangani kontrak baru bersama Arsenal. Beliau sebelum ini secara terbuka mengatakan pada waktu sekarang beliau hanya mahu bermain bolasepak sebanyak mungkin. Seorang lagi pemain muda Arsenal yang sebelum ini dipinjamkan ke kelab Nurnberg di Bundesliga bakal diberikan peluang untuk bermain untuk Arsenal musim hadapan ialah Havard Nordtveit. Beliau pada asalnya bermain pada posisi pertahanan tengah, namun diubah menjadi bek kanan ketika bersama Nurnberg. Keserbagunaan beliau ini amat berguna untuk Arsenal yang kekurangan pemain.

Apa sekali pun tindakan Arsene Wenger, diharap barisan pertahanan Arsenal cukup mantap untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-juara Eropah musim hadapan.


Tagged: , ,

0 comment(s):

Post a Comment