Thursday, July 29, 2010

Hari ini aku terbaca di shoutbox Atikah dimana gunnersheart meminta pendapat fans Arsenal yang lain mengenai masalah kecederaan yang menimpa skuad the Gunners. Jadi kali ini, aku akan mengupas tentang isu ini yang semakin menjadi misteri kepada kita semua.

RVP, Bendtner dan Fabregas tidak dapat bermain di Anfield
Seperti kita semua tahu, pemain-pemain Arsenal sangat cenderung untuk tercedera sejak akhir-akhir ini. Sehingga waktu ini, tiga pemain utama disahkan tidak dapat bermain pada perlawanan pembukaan liga menentang Liverpool di Anfield. Mereka adalah Robin Van Persie, Nicklas Bendtner dan juga ketua pasukan Cesc Fabregas. Bendtner mengalami kecederaan dibahagian peha manakala Fabregas dan Van Persie tidak memiliki tahap kecergasan yang secukupnya setelah berehat panjang.

Apakah punca sebenar masalah ini berlarutan hingga ke saat ini? Adakah Arsene Wenger tidak tahu menilai pemain yang ingin dibelinya itu berkecenderungan untuk cedera? Adakah Arsenal selama ini tidak bernasib baik apabila pemainnya tercedera? Adakah pula bentuk latihan yang digunakan Arsene Wenger yang mengakibatkan kecederaan ini?

The Invincibles - kali terakhir Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris
Pernahkah anda semua terfikir, ketika era Arsenal memenangi liga dan juga beberapa piala lain, tiada pula masalah seperti ini melanda? Kesemua kesebelasan utama Arsenal sangat jarang untuk tercedera dan ini menjadikan Arsenal satu unit yang kuat. Nama-nama seperti Thierry Henry, Patrick Vieira, Ashley Cole, Gilberto Silva, Robert Pires, Sol Campbell dan ramai lagi jarang untuk mengalami kecederaan.

Pada ketika itu Arsenal menjadi pasukan yang digeruni oleh mana-mana pasukan lain lebih-lebih lagi pasukan yang berada di tangga tengah liga hingga ke bawah. Bak kata Edu, mentaliti pasukan lawan terus menjadi negatif apabila dijadualkan bertemu Arsenal. Namun, ini tidak bermakna pasukan Arsenal sekarang tidak lagi hebat dan digeruni, cuma pasukan ini tidak sehebat dulu.

Setelah kejayaan Arsenal memenangi silverware dari satu musim ke musim seterusnya, terdapat beberapa pasukan mendapat idea bagaimana untuk menyekat penguasaan Arsenal ini. Caranya ialah mereka perlu menyekat Arsenal bermain 'Cara Arsenal'. Taktik hantaran singkat serta bermain dengan menggunakan keupayaan teknikal masing-masing adalah 'Cara Arsenal' yang dicipta oleh Arsene Wenger.

Fabregas menunjukkan cara untuk mengajar pasukan lawan supaya tidak membuli Arsenal
Bagaimana 'Cara Arsenal' ini disekat? Mudah saja, pasukan lawan hanya perlu bermain secara fizikal. Setiap kali pemain Arsenal mendapat kawalan bola, mereka perlu mengasak dan membuat terjahan tanpa menghiraukan ianya terjahan tepat atau lambat. Bagi mereka, yang penting pemain-pemain Arsenal ini harus diasak dan diterjah. Kalau tidak, Arsenal akan menguasai permainan dengan cara mereka.

Pada pandangan pasukan lawan, apabila seseorang pemain Arsenal itu tercedera, ianya menjadi pengajaran kepada yang lain. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Eduardo dan Ramsey. Secara tidak lansung, ini sedikit sebanyak mempengaruhi mentaliti dan keyakinan pemain lain untuk bermain 'Cara Arsenal'. Akibatnya, hantaran menjadi tidak tepat dan para pemain teknikal kurang kreatif menggunakan kemahiran masing-masing.

Eduardo tidak lagi dapat beraksi dengan baik selepas kakinya patah
Sayangnya, apabila seseorang pemain itu mula mengalami kecederaan yang serius, kebarangkalian untuk cedera semula adalah sangat tinggi. Malah ianya akan turut mempengaruhi keyakinan dan mutu permainan permain terbabit. Antara contoh pemain yang mengalami situasi ini adalah Jose Antonio Reyes, Van Persie, Eduardo, Walcott, Diaby, Rosicky dan mungkin juga Ramsey suatu hari nanti.

Sebagai contoh ketika era pasukan lawan tidak mengetahui cara untuk menyekat 'Cara Arsenal', skuad Arsenal dibarisi oleh pemain-pemain seperti Thierry Henry, Patrick Viera dan Robert Pires yang masing-masing secara purata bermain 50 perlawanan setiap musim. Pada masa sekarang, pemain seperti Van Persie, Rosicky dan Arshavin hanya bermain secara purata tidak lebih dari 40 perlawanan.

Nasib yang sama turut menimpa ketua pasukan Cesc Fabregas. Beliau pada peringkat awal karier bermain banyak perlawanan namun sejak dua musim lepas ianya terhad kepada 33 dan 36 perlawanan sahaja. Situasi yang sama bakal terjadi kepada pemain-pemain seperti Walcott, Nasri, Denilson, Diaby, Ramsey dan yang lain.

Antara sebab pasukan lawan secara berleluasa dapat bermain secara kasar adalah kerana pasukan Arsenal sekarang tidak mempunyai pemain yang beperwatakan agresif dan bertubuh badan sasa yang dapat melindungi pemain-pemain teknikal, pemain muda, dan pemain bertubuh badan sederhana. Arsenal juga mempunyai purata ketinggian pemain yang rendah berbanding pasukan lain.

Vieira  bertindak seperti 'Abang Long' yang melindungi rakan sepasukannya
Tidak seperti dahulu, Arsenal mempunyai pemain seperti Patrick Vieira, Emmanuel Petit, Sol Campbell dan Gilberto Silva yang sentiasa melindungi pemain-pemain lain. Mereka akan mengasak lawan kembali jika ada yang cuba membuli rakan sepasukan secara fizikal. Mengikut statistik dalam 6 dari keseluruhan 9 musim Vieira bersama Arsenal, beliau telah mengutip 51 kad kuning dan 6 kad merah.

Selain itu pihak media Inggeris turut memainkan peranan menjayakan pendekatan kasar pihak lawan terhadap Arsenal. Media Inggeris dinampak berat sebelah dalam memberi pandangan dan juga liputan terhadap skuad Arsenal yang rata-ratanya bukan pemain berbangsa Inggeris.

Ramsey turut mengalami nasib yang sama seperti Eduardo
Apabila Wenger mengeluarkan kenyataan bahawa Martin Taylor tidak patut bermain bolasepak lagi, beliau dikecam kerana terlalu mengikut emosi serta dikatakan tidak bersikap profesional. Wenger sekali lagi dikecam hebat apabila mengeluarkan kenyataan yang hampir serupa keatas Ryan Shawcross. Beliau dikatakan bakal menggelapkan masa depan bintang muda England itu yang turut sama trauma dengan kejadian tersebut.

Pihak media dari media cetak sehinggalah pengulas perlawanan turut menyokong pihak lawan dengan alasan Arsenal bermain terlalu pantas sehingga timbulnya kecederaan yang tidak disengajakan. Arsenal juga dipersalahkan kerana memperkenalkan permainan yang pantas dan menarik. Seharusnya pasukan lawan perlu berusaha lebih keras memperbaiki mutu permainan mereka dan menggunakan taktik yang bijak bagi menewaskan Arsenal.

Inilah salah satu sebab pasukan kebangsaan England tidak dapat beraksi dengan baik di peringkat antarabangsa. Jika pasukan lawan yang kebanyakannya mempunyai pemain berbangsa Inggeris dapat mengatasi  pasukan campuran Arsenal dari segi mutu permainan dan teknikal, sudah pasti mereka setidak-tidaknya dapat beraksi lebih baik semasa di kejohanan Piala Dunia lepas. Ini tidak, mereka menyalahkan kelab seperti Arsenal yang tidak memberi peluang kepada pemain berbangsa Inggeris. Ada sebabnya kenapa Wenger lebih gemar membeli pemain luar. Nantilah kita bincangkan.

Reyes sentiasa disekat dari mempamerkan kemahirannya
Apa yang membimbangkan, jika keadaan ini tidak dikawal, ramai pemain yang berbakat besar dan berpotensi untuk menyinar gagal beraksi seperti yang diharapkan. Lihat saja kepada Jose Antonio Reyes dan Eduardo. Walaupun tidak mengalami kecederaan teruk seperti Eduardo, Reyes pada mulanya beraksi dengan baik dan memperlihatkan kemahiran gelecekan beliau yang menarik. Namun prestasi beliau mula menurun apabila mengalami kecederaan buku lali yang berlarutan.

Bayangkan betapa ruginya jika perkara yang sama turut terjadi kepada Aaron Ramsey. Beliau yang dilihat bakal menggantikan Cesc Fabregas suatu hari nanti, tidak diketahui sama ada boleh beraksi dengan baik lagi.

Pada pandangan aku, hanya satu cara sahaja untuk mengelakkan situasi ini terus berlaku iaitu Arsene Wenger harus menukar pendekatan yang ada sekarang kepada lebih agresif dan membeli pemain-pemain yang beperwatakan seperti Vieira, Essien dan juga Gatusso. 'Cara Arsenal' tidak boleh digunakan lagi sekarang kerana ianya berjaya disekat dengan baik oleh pasukan lawan. Apa pula pendapat anda?


Tagged: ,

1 comment:

  1. Ricardo Fuller prnah mgatakan cara utk brmain dgn arsenal adlh kekerasan, dan mrk melakukan apa yg dikatakan.. sebenarnya byk team yg mgamalkan cara kekerasan apabila brlawan dgn arsenal.. mrk x akan memenangi bola sekiranya cuba brmain rentak arsenal.. kekerasan adlh pilihan trbaik brtemu arsenal yg dibarisi pemain2 muda, yg mentalitinya masih rendah, fizikalnya yg ala2 cukup mkn.. dan aku setuju benar no.4, zaman invicible dulu siapa yg berani buat hal dgn arsenal, kalau ada yg buat mmg jaminan balasan setimpal dikembalikanlah.. tp nak dptkan semula zaman tu mmg sukar, malainkan pemain yg ada skrg cuba utk agresif juga bila diancam.. tp kalau aku tgk c.vela nak agresif mmg harapanlah.. player arsenal yg x takut mati mmg xde skrg, ari tu ada gak campbell.. arshavin, rosicky, clichy plk baik sgt.. kalau ada yg nk melawanpun mcm persie, song, yg lain tgk mood.. tak mustahil musim ni arsenal sekali lagi dibelenggu mslh kecederaan pemain, jika x lakukan sesuatu..

    ReplyDelete