Monday, November 15, 2010

Seperti yang dijangka, bermain menentang Everton di Goodison Park bukanlah mudah untuk Arsenal dan tiga mata yang kita perolehi semalam sangat bermakna apabila Chelsea tewas ditempat sendiri ditangan Sunderland. Ini menjadikan jarak dengan tempat pertama hanya tinggal dua mata sahaja dengan Man Utd turut mengekori rapat dari belakang.

Pada pandangan aku, kedua-dua pasukan beraksi dengan baik, dari barisan pertahanan hinggalah penyerang. Perlawanan nampak seimbang namun yang membezakannya adalah Arsenal menggunakan peluang dengan sebaik mungkin untuk menjaringkan gol sementara Everton pula gagal menyempurnakan peluang keemasan terutama sekali apabila tandukan bebas Tim Cahill tersasar dan tolakan Jack Rodwell melambung keatas.

Arshavin yang bermain dengan baik ketika menentang Wolves turut nampak bersemangat kali ini namun gagal untuk membuat rembatan tepat kearah pintu gol Everton. Walaubagaimanapun, semangat berpasukan yang beliau pamerkan berjaya membuahkan hasil apabila bertindak mengejar bola muntah rembatan Nasri dan menghantarnya kepada Sagna untuk gol pertama Arsenal. Tahniah juga kepada Sagna yang menjaringkan gol kedua dalam karier bersama Arsenal. Kali terakhir beliau menjaringkan gol adalah pada 106 perlawanan yang lepas.

Pada separuh masa kedua Arsenal membuat pertukaran taktikal apabila mengeluarkan Jack Wilshere dan memasukkan Denilson. Pertukaran tersebut merupakan pilihan yang bijak apabila Denilson mempamerkan persembahan yang tidak menghampakan dimana beliau turut terlibat dalam gerakan cantik yang menghasilkan gol kedua menerusi ketua pasukan Cesc Fabregas. Nasib agak baik buat Fabregas kerana tidak mengalami kecederaan apabila Distin secara tidak sengaja terpijak kaki beliau.

Gol pertama buat Fabregas dalam lapan perlawanan liga musim ini
Walaupun ketinggalan dua gol Everton masih tidak berputus asa apabila masih menghasilkan gerakan-gerakan serangan yang merbahaya. Sesungguhnya mereka berkemampuan untuk bangkit dari ketinggalan seperti yang mereka lakukan ketika menentang Man Utd namun Squillaci dan Djourou beraksi dengan baik untuk mengekang serangan berbahaya Everton. Sekarang barulah kita nampak kebolehan sebenar Djourou setelah bebas dari masalah kecederaan dan dapat menjumpai rentak permainan sebenar.

Lukasz Fabianski pula semakin berjaya dalam misi untuk menjadi penjaga gol terbaik di liga perdana apabila meneruskan aksi cemerlang mengawal gawang Arsenal. Sekali lagi Arsenal berjaya memperoleh kemenangan hasil dari ketangkasan beliau menepis bola terutama sekali menerusi percubaan Jermaine Beckford dan Louis Saha. Menurut OptaJoe, Fabianski mempunyai nisbah saves-to-shots sebanyak 83%. Ianya merupakan yang kedua terbaik dalam Liga Perdana Inggeris dibelakang Petr Cech iaitu sebanyak 85%.

Sementara itu Nicklas Bendtner yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan kontroversi untuk berpindah dari Stadium Emirates jika tidak dapat bermain selalu lansung tidak tersenarai dalam skuad Arsenal. Difahamkan ianya kerana beliau mengalami 'kecederaan'. Mungkin ianya sama dengan 'kecederaan' yang dialami oleh Almunia buat masa ini. Kita semua tahu Wenger bijak menipu media untuk mengekalkan keharmonian bilik persalinan Arsenal.

Apa-apa pun diharap Bendtner dapat bersabar dan terus berjuang untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama seperti yang beliau katakan sendiri beberapa minggu lepas. Beliau merupakan alternatif yang baik buat The Gunners dan kita tidak mampu untuk kehilangan seorang lagi penyerang dikala masalah kecederaan pemain Arsenal yang tidak menentu sekarang.

Video Highlights

Tagged: , , ,

1 comment:

  1. Hai bro and fellow gooners........it all went well for us.

    ReplyDelete