Hasrat untuk layak lebih awal tidak menjadi kenyataan apabila Arsenal gagal mendapat sebarang mata pada perlawanan pagi tadi. Jika dilihat pada barisan yang diturunkan, hanya Craig Eastmond sahaja pemain yang tidak begitu berpengalaman. Maka satu mata yang diharap-harapkan sepatutnya tidak mendatangkan masalah buat barisan pemain yang boleh dikatakan berkemampuan ini.
Walcott mengena sasaran sekali lagi |
Arsenal bermula dengan baik apabila membuka jaringan seawal minit ke-10 apabila Theo Walcott membuat larian pantas yang tidak terkejar oleh pemain lawan melalui gerakan serangan balas dan beliau yang hanya berdepan dengan penjaga gol dengan mudah menyepak masuk kedalam gawang lawan. Jaringan a la Thierry Henry itu merupakan yang ketujuh dalam lapan penampilan beliau setakat ini.
Namun The Gunners dilihat hilang fokus dan konsentrasi apabila membenarkan pasukan tuan rumah menguasai kembali perlawanan melalui percubaan-percubaan berbahaya terutama sekali menerusi Dmytro Chygrynskiy yang sentiasa naik keatas pada situasi bola mati. Chygrynskiy hampir menyamakan kedudukan tetapi tandukan beliau terkena tiang dan satu lagi percubaan didepan pintu gol berjaya ditepis dengan baik oleh Fabianski.
Tidak lama kemudian hasil usaha keras Chygrynskiy berhasil juga apabila tandukan beliau terkena Eastmond lantas menerjah gawang Arsenal. Timbul persoalan disini kenapa Eastmond yang tidak berpengalaman dan tidak mempunyai susuk tubuh yang tegap ditugaskan mengawal Chygrynskiy yang sentiasa nampak berbahaya itu? Kenapa tidak Squillaci atau Djourou yang mengawal pemain tersebut?
Pasukan tuan rumah perlu berterima kasih dengan Gael Clichy diatas kelalaian beliau menjalankan tugas bertahan dengan baik. Beliau dengan mudah berubah menjadi hero minggu lepas kepada zero pada pagi tadi. Clichy pada mulanya dilihat dapat mengawal situasi namun tiba-tiba sahaja hilang fokus yang membenarkan Dario Srna melorongkan bola ketengah untuk disudahi dengan mudah oleh Eduardo.
Nampaknya Clichy tidak pernah belajar dari kesilapan kerana ini bukan kali pertama kesilapan seperti ini berlaku dan apabila berlaku, ianya benar-benar menghukum Arsenal. Wenger seharusnya mempertimbangkan untuk menurunkan Gibbs jika beliau pulih agar ianya dapat memberikan saingan yang sihat demi kebaikan Clichy sendiri supaya sentiasa fokus dan tidak mengulangi kesilapan seperti ini lagi.
Pada separuh masa kedua, Arsenal kembali menguasai permainan serta mempunyai dua peluang keemasan masing-masing menerusi Jack Wilshere dan Sebastian Squillaci sementara beberapa percubaan Theo Walcott lansung tidak mendatangkan masalah buat penjaga gol Shakhtar. Kedudukan kekal hingga tamat masa permainan.
Dalam temubual selepas perlawanan tamat, Arsene Wenger menyalahkan anak-anak buah beliau kerana tidak fokus dan kurang konsentrasi yang secara tidak lansung menyebabkan mereka melakukan kesilapan. Sememangnya masalah fokus dan konsentrasi ini memang dari dulu lagi dikenal pasti menjadi penyebab kegagalan Arsenal dalam meraih apa-apa kejuaraan. Entah bila agaknya mereka ini akan belajar. Alasan umur tidak boleh dipakai lagi kerana mereka sudah didedahkan dari awal lagi.
Dari sudut positifnya, Theo Walcott dilihat semakin berkeyakinan didepan gol dan dengan penyudahan yang baik serta kelajuan yang ada, tidak mustahil beliau akan menjadi pemain bertaraf world class setanding Ronaldo dan Messi suatu hari nanti. Itu pun jika beliau tidak dibebani dengan masalah kecederaan yang berlarutan. Sementara itu, Lukasz Fabianski meneruskan persembahan baik beliau dan tidak melakukan sebarang kesilapan walaupun melepaskan dua gol.
Secara keseluruhan, masih terlalu awal untuk kita bimbangkan tentang kemampuan Arsenal untuk pergi jauh dalam Liga Juara-juara Eropah kerana masih ada lagi dua perlawanan yang memerlukan satu mata sahaja untuk The Gunners layak pada pusingan kalah mati. Keputusan yang baik pada tiap-tiap perlawanan peringkat kumpulan tidak bermakna sesebuah pasukan itu akan menjadi juara.
Video Highlights
0 comment(s):
Post a Comment