Sunday, October 31, 2010

Seperti yang dijangka perlawanan menentang pasukan bawahan bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana tekanan adalah lebih kepada Arsenal dimana tiga mata penuh adalah satu kemestian untuk perlawanan seperti ini berbanding West Ham yang berada di kedudukan tercorot. Bagi mereka, keputusan seri sudah cukup memadai apabila menentang lawan yang kuat seperti Arsenal.

Sejak dari sepak mula Arsenal mengekalkan corak permainan pantas bagi memburu gol awal namun sayangnya taktik ini kurang berkesan kerana hantaran-hantaran yang dilakukan kurang kemas. Walaupun begitu Arsenal masih mampu mencipta gerakan-gerakan menarik yang hampir membuahkan hasil namun semuanya berjaya dihalang oleh Rob Green yang mempamerkan aksi world class dalam menyelamatkan bola. 

Selain itu, tiang gol juga menjadi penyelamat buat West Ham apabila sepakan percuma jarak jauh Samir Nasri menggegarkan palang dan rembatan Theo Walcott terkena tiang gol. Kedegilan barisan pertahanan West Ham akhirnya berakhir pada minit ke-88 apabila flying header Alex Song menghancurkan kekebalan kubu mereka hasil hantaran lintang Gael Clichy.

Clichy dan Song memusnahkan kekebalan benteng pertahanan West Ham
Secara keseluruhannya persembahan semalam adalah tidak setajam seperti ketika menentang Man City dan Newcastle tempoh hari namun apa yang pentingnya Arsenal masih mampu menang. Tiada pasukan yang mampu mempamerkan aksi terbaik mereka setiap perlawanan. Bila bercakap tentang aksi terbaik, aku maksudkan pertahanan yang terancang, hantaran yang kemas dan penyudahan yang tepat.

Kita hanya boleh mengharapkan mereka melakukan yang terbaik namun tidak semua form pemain berada di puncak. Ianya bergantung kepada ketahanan mental pemain itu sendiri. Apabila mereka tidak dapat mempamerkan aksi terbaik, sudah pasti peluang untuk menjaringkan gol akan berkurangan. Apa yang aku nak tekankan adalah, untuk menang, Arsenal tidak boleh mensia-siakan peluang jika ada.

Sebagai contoh yang boleh kita lihat, ketika Chelsea menewaskan Wigan 2-0 tidak lama dulu. Persembahan mereka tidak menarik dan bersahaja namun masih mampu menang. Begitu juga ketika Manchester United menjadi juara pada musim-musim terdahulu. Bukan semua perlawanan mereka mempamerkan aksi terbaik tetapi masih mampu menang dan menjadi juara.

Berbalik pada Arsenal, barisan tengah agak kurang berkesan terutama sekali Fabregas dan Denilson. Seperti yang aku terangkan, form pemain tidak sentiasa berada di puncak dan ternyata form Fabregas menurun semalam, mungkin dipengaruhi kecederaan hamstring beliau sebelum ini. Akan tetapi, persembahan Arshavin agak mengecewakan apabila mensia-siakan beberapa peluang pada perlawanan semalam.

Berbeza dengan Fabregas, sejak tiga atau empat perlawanan sebelum ini lagi persembahan Arshavin agak tumpul namun ianya boleh dimaafkan memandang beliau ada melibatkan diri dalam gerakan mencipta gol seperti ketika menentang Man City tempoh hari. Walaubagaimanapun, kali ini beliau tidak menyumbang apa-apa untuk pasukan malah turut melepaskan peluang untuk menjaringkan gol.

Sementara dibarisan pertahanan, segalanya nampak lebih terancang dan mantap lebih-lebih lagi dengan kehadiran Laurent Koscielny setelah pulih dari kecederaan. Beliau melihatkan kemajuan pada setiap permainan dan agak menarik bila kita dapat lihat beliau pandai membaca gerak langkah lawan yang menyukarkan pemain lawan untuk melepasi beliau dalam situasi satu lawan satu.

Perlawanan kali ini turut menguji Lukasz Fabianski sekali lagi namun dalam aspek yang berbeza. Ketika menentang Man City, Fabianski diuji dengan mempamerkan aksi menyelamatkan bola menerusi serangan berbahaya City namun semalam beliau diuji agar kekalkan fokus supaya tidak melakukan kesilapan apabila West Ham sekali-sekala melakukan serangan. Kalau dulu Fabianski dikatakan kurang berkomunikasi dan mengarah menjadi punca persembahan teruk beliau, namun semalam kita dapat melihat beliau menarik baju Fabregas supaya berada di posisi yang beliau mahukan dan keputusan tersebut adalah tepat kerana West Ham menghantar terus bola kedalam kotak penalti Arsenal.

Pemain terbaik bagi perlawanan semalam tidak lain lagi kalau bukan Alex Song apabila menjaringkan gol tunggal Arsenal pada minit-minit terakhir. Beliau yang memulakan hantaran kepada Gael Clichy yang kemudiannya membuat hantaran lintang yang membuahkan hasil. Perlu diingat, jaringan beliau jugalah yang memberikan Arsenal untuk berada dalam keadaan selesa mendahului Man City dua gol minggu lepas. 

Namun begitu diharap, sebagai seorang defensive midfielder, Alex Song tidak lalai dalam melakukan tugas bertahan beliau dengan baik. Pada sidang media, Arsene Wenger turut merasakan Song terlalu banyak pergi kedepan tetapi tidak menolak ianya adalah sebahagian dari cara permainan Arsenal. Wenger dipetik berkata:
He has got the taste to go forward, even if I think a little too much sometimes for a holding midfielder! But that is part of our game as well.

Fakta menarik:
  • Kali terakhir Gael Clichy melakukan assist adalah ketika menentang West Ham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Januari 2008.
  • Sejak 2005 hingga musim lepas Alex Song telah membuat penampilan sebanyak 116 kali dan menjaringkan 4 gol. Pada musim ini, beliau sudah membuat 12 penampilan dan menjaringkan 4 gol.
  • Dalam 353 perlawanan Liga Perdana ditempat sendiri, Arsenal dan Manchester United secara kebetulan telah menjaringkan 1001 gol termasuk pada perlawanan semalam.
  • Termasuk semalam Arsenal berjaya mengekalkan clean sheet sebanyak tiga perlawanan.
Video Highlights

Tagged: , , ,

2 comments:

  1. aku tak berape gemar dengan song yg suka attack skrg ni...
    attack bukan tugas utama seorang DM..
    walaupun dia jaringkan gol penting utk arsenal, tapi goal tak menunjukkan dia main dengan bagus...
    disiplinkan positioning & mantapkan lagi passing dia..

    ReplyDelete
  2. tp ok lah tu.. banyak pemain yang tak perform ari tu dia plak main dgn bertungkus lumus..

    ReplyDelete